KUALA LUMPUR: Kegiatan kecurian elektrik bukan sahaja menjejaskan pendapatan negara, malah turut mengancam keselamatan pengguna apabila lebih 5,000 kes dikesan sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, sebanyak 5,133 kes kecurian elektrik dari 2021 hingga 2025 direkodkan dengan anggaran kerugian berjumlah RM41 juta.
“Perbuatan tidak bertanggungjawab itu menjejaskan kestabilan sistem bekalan tenaga negara dan membahayakan keselamatan orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, dengan menekankan bahawa usaha pembanterasan turut melibatkan kegiatan perlombongan bitcoin dan mata wang kripto yang menjadi antara punca utama kehilangan elektrik berskala besar.
Sebagai langkah membendung kegiatan haram ini, kerajaan memasang 5.56 juta meter pintar di seluruh Semenanjung Malaysia sehingga 2025, selain menggunakan sistem Distribution Transformer Meter (DTM) bagi meningkatkan pengesanan awal kes kecurian.
Beliau menambah, dalam operasi penguatkuasaan, Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad menggunakan teknologi moden seperti dron dan peranti pengesan haba mudah alih bagi meningkatkan keberkesanan pengesanan.
Kata Fadillah, pendekatan bersepadu yang melibatkan kerjasama agensi penguatkuasaan, program kesedaran awam dan libat urus strategik akan terus diperkasa bagi meminimumkan kerugian industri elektrik serta memastikan keselamatan dan kelestarian sistem tenaga negara terus terpelihara.
