Bangunan DUN lama diubah suai, siap Jun 2027

KUCHING: Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama yang menjalani projek ubah suai sebagai pusat seni persembahan moden pertama di sini kini mencatat kemajuan kerja sebanyak 29 peratus.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata
ini berada dalam jadual pelaksanaan malahan mendahului perancangan projek sebanyak 1.8 peratus.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pemaju memaklumkan bahawa pelaksanaan kerja berjalan lancar serta mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Beliau dimaklumkan demikian selepas melawat tapak bangunan itu bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Snowdan Lawan dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Dato’ Ir. Cassidy Morris, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, projek bernilai RM247 juta itu melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian bangunan utama serta bangunan bersebelahan yang dikenali sebagai Lapau.

Menurutnya, bangunan berkenaan dijangka siap menjalani kerja projek itu pada Jun 2027, tepat pada masanya menjelang temasya Sukan Asia Tenggara (SEA).

“Apabila siap kelak, pusat seni persembahan ini akan mempunyai kapasiti kira-kira 600 tempat duduk dan dilengkapi kemudahan yang memenuhi keperluan sebuah pusat seni persembahan moden,” tambahnya.

Beliau menambahkata, kerajaan berharap kemudahan baharu ini bakal menjadi pemangkin perkembangan industri seni dan kebudayaan, di samping menyediakan ruang berkualiti untuk penganjuran pelbagai acara seni dan persembahan pada masa hadapan.