Semakan SKAS 2026 diperkukuh, individu layak tidak tercicir

KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi jaminan tiada individu yang layak akan tercicir daripada menerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026, dengan syarat maklumat mereka dikemas kini melalui saluran betul.

Menteri Pembangunan Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kes keciciran yang berlaku dikenal pasti sebagai anomali dan memerlukan semakan semula di peringkat jawatankuasa SKAS daerah sebelum dirujuk kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Antara punca utama isu itu ialah perubahan dalam struktur isi rumah yang tidak dikemas kini, termasuk kes melibatkan kematian ketua keluarga yang sebelum ini menjadi penerima bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Lembaga Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) di sini, sambil menambah bahawa majoriti penerima masih mematuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

Katanya, apabila berlaku perubahan seperti ini, maklumat baharu perlu dimaklumkan supaya rekod dapat diselaraskan dan bantuan tidak terhenti kepada individu yang masih layak.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bantuan SKAS disasarkan kepada isi rumah berpendapatan sekitar RM5,000 ke bawah, selain mengingatkan orang ramai agar mengamalkan perbelanjaan berhemah sepanjang musim perayaan demi mengelakkan pembaziran.