KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mahu mutu dan imej lada hitam Sarawak dilindungi.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, langkah itu sangat penting memandangkan reputasinya sebagai bahan eksport yang bermutu tinggi.
“Jangan biarkan peniaga yang tidak bertanggungjawab merosakkan imejnya dengan mencampurkan lada hitam keluaran tempatan dengan lada keluaran negara lain untuk meningkatkan jumlah eksportnya,” katanya mengalu-alukan kunjungan rombongan Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Syarikat SaraSpice Sdn Bhd di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut Uggah, perbuatan tidak bertanggungjawab peniaga memberi kesan kepada reputasi lada Sarawak dan permintaan di luar negara.
MPB diketuai oleh Pengerusinya, Dato Anyi Ngau dan Ketua Pengarahnya, Vincent Sawat, manakalan SaraSpice diketuai oleh Pengerusinya, Dato Sri Doris Sophia Brodie.
Uggah berkata, Sarawak memiliki banyak dermaga persendirian untuk membolehkan lada keluaran negara lain dibawa masuk ke negeri ini.
Justeru, tambahnya, penguatkuasaan kemasukan lada dari luar negara amat penting.
“Kita harus memastikan lada yang dieksport hendaklah lada tulin dari Sarawak yang memiliki mutu tinggi daripada lada luar negara,” tegas beliau.
Uggah turut menggesa MPB mencari jalan untuk meningkatkan pengeluaran lada dan menarik lebih ramai belia supaya berminat menanam lada.
Dalam taklimatnya, Vincent berkata, seramai 31,841 pekebun kecil mengusahakan 5,850 hektar lada di Betong, Sarikei, Sibu serta bahagian lain.
Beliau menegaskan, sebanyak RM15,562,659. 00 dalam bentuk bantuan diagihkan kepada pekebun kecil lada dan MPB kini memulakan program penanaman secara organik.
MPB, tambahnya, turut memperkenalkan penanaman menggunakan IOT dan kaedah penanaman fertigasi sebagai projek perintis menarik golongan belia berminat menanam lada dan meningkatkan pengeluaran.
