KUCHING: Miri bakal mempunyai Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSEIC) yang dijangka mula beroperasi pada Oktober tahun ini.
Bagi tujuan itu, sejumlah RM2.02 juta diperuntukkan kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penyaluran peruntukan itu susulan ketiadaan pusat sehenti di kawasan Miri meskipun bandar tersebut merekodkan bilangan kedua tertinggi kanak-kanak bermasalah pembelajaran berdaftar di negeri ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Graduasi OSEIC 2023 di sini, hari ini.
Fatimah menambah, pengwujudan OSEIC Sarawak di kawasan pedalaman penting dalam mewujudkan lebih banyak peluang kepada kanak-kanak berkeperluan khas mendapat akses diagnosis awal, program intervensi yang berkesan dan sesi terapi di seluruh Sarawak.
Seramai 82 kanak-kanak dari OSEIC Kuching dan sembilan dari OSEIC Dalat diraikan dalam majlis tersebut.
