LAWAS: Ribuan masyarakat berbagai kaum dan latar belakang membanjiri majlis rumah terbuka Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Hotel Seri Malaysia Lawas hari ini.
Kehadiran orang ramai mula diterima seawal jam 9 pagi yang disambut Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.
Ini disusuli dengan ketibaan Awang Tengah bersama isteri Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud dan ahli keluarga lain.
Terdahulu, Awang Tengah menghadiri pengebumian anak saudara perempuan beliau Allahyarhamah Siti Masdiana Ali Omar di tanah perkuburan Islam Pulau Sari yang meninggal dunia pada awal pagi ini.
Sejurus itu beliau menyambut ribuan masyarakat Lawas, rakan dan kenalan daripada negara Brunei, Sabah, Limbang dan Miri.
Ratusan pengunjung daripada luar daerah Lawas mendedahkan mereka terpaksa berdepan barisan sepanjang lima kilometer untuk memasuki sempadan Brunei dan Lawas di Pos Imigresen Mengkalab, Trusan.
Bagi pengunjung dari Sabah pula, terpaksa mengharungi barisan deretan kenderaan sepanjang tiga kilometer memasuki daerah Lawas.
Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Datuk Paulus Palu Gumbang dan kenamaan lain daripada negara Brunei dan negeri.
Majlis rumah terbuka diadakan dua hari iaitu Ahad mulai 9 pagi hingga 5 petang diikuti Isnin pada waktu yang sama.
