Sarawak pertimbang adakan solat hajat hadapi cuaca panas

KUCHING: Sarawak akan mempertimbangkan mengadakan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah sekiranya cuaca panas dan kemarau ketika ini berterusan.

Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Dato’ Misnu Taha berkata, perkara itu nanti akan dibincangkan bersama mufti Sarawak dan dimaklumkan kepada Premier Sarawak untuk pertimbangan lanjut.

“Jika perlu, kita akan mengadakan solat hajat serta bacaan Qunut Nazilah pada setiap hari Jumaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bersama isteri, Datin Jamilah Said di Kompleks Islam Sarawak, Jalan P.Ramlee, di sini, hari ini.

Menurutnya, fenomena cuaca seperti banjir ketika musim hujan dan kemarau ketika musim panas merupakan perkara yang berlaku saban tahun.

Justeru, katanya umat Islam disaran untuk terus berdoa agar dilindungi daripada sebarang musibah.