LAWAS: Pelan pembangunan tempatan membabitkan peruntukan sebanyak RM47 juta bagi kawasan Trusan, di sini, tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata peruntukan ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan infrastruktur utama, pejabat daerah kecil Trusan serta pembinaan masjid baharu.
“Kemudahan komersial seperti Anjung Usahawan dan Stesen Petros juga disediakan, selain usaha menjadikan kawasan Trusan sebagai Wetland Park,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berkunjung ke kediaman Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jienal Abedin Dato Pengiran Jawa, di sini, semalam.
Selain itu Awang Tengah berkata antara projek utama sedang diberi perhatian bagi kawasan terbabit ialah pelaksanaan fasa pertama Sarawak-Sabah Link Road (SSLR).
Menurutnya projek terbabit kini telah mencapai 70 peratus siap sekali gus menjadi pemangkin penting kepada jaringan perhubungan dan pembangunan kawasan Trusan pada masa hadapan.
