BINTULU: Perkumpulan Persekutuan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Bintulu-Tatau harus memanfaatkan peluang program MADANI Sejati.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata inisiatif itu menawarkan geran sehingga RM100,000 sebagai pemangkin kepada usaha meningkatkan ekonomi komuniti secara mampan.
“Geran sehingga RM100,000 perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pertubuhan seperti PPWS bagi menjana pendapatan komuniti secara mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan projek siap naik taraf bumbung, pengudaraan dan siling bangunan PPWS Daerah Bintulu-Tatau serta sambutan ulang tahun ke-30 Jubli Mutiara PPWS daerah itu, di sini, hari ini.
Iskandar berkata, pertubuhan itu perlu mempunyai pelan strategik lima tahun dan perancangan jangka panjang sehingga 10 tahun akan datang.
“Ini penting supaya setiap usaha yang dilaksanakan mempunyai arah yang jelas serta mampu memberi impak berterusan kepada ahli,” katanya.
