Program Aidilfitri eratkan silaturahim warga sekolah, masyarakat

MATU: Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi menyantuni warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sekaan Kechil semalam menerusi program Ramah Tamah Aidilfitri SKIMIT anjuran sekolah tersebut.

Semasa berucap pada majlis tersebut, Ahmad Johnie menekankan agar hubungan kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat terus diperkukuh demi memastikan kecemerlangan pendidikan di kawasan tersebut.

Menurutnya, pendidikan memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi pelajar yang cemerlang, berdisiplin dan berdaya saing.

Pada majlis tersebut, beliau turut meluangkan masa berkunjung ke setiap kelas untuk beramah mesra dan beraya bersama para pelajar serta guru.

Pelbagai juadah tradisi Hari Raya yang disediakan di setiap kelas nyata menambat selera, sekali gus mencerminkan semangat gotong-royong dan kebersamaan.

Ahmad Johnie turut merakamkan penghargaan dan l terima kasih kepada ibu bapa dan penjaga yang menyediakan pelbagai hidangan sekali gus menghidupkan lagi tradisi sambutan Aidilfitri di sekolah.

Program ini bukan sahaja menjadi platform mengeratkan silaturahim sempena Aidilfitri, malah mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam memperkasa pembangunan pendidikan dan kebajikan pelajar di Parlimen Igan.