SDCC mampu tingkatkan keupayaan pengurusan bencana Sarawak

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggas Embas berkata, projek naik taraf Pusat Kawalan Bencana Negeri Sarawak (SDCC) di Wisma Bapa Malaysia (WBM) di sini, mampu meningkatkan keupayaan pengurusan bencana di negeri ini.

Beliau berkata, projek membabitkan peruntukan RM750,000.00, itu dibiayai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) siap sepenuhnya, November tahun lalu.

Naik taraf tersebut juga dilihat mampu meningkatkan keupayaan pemantauan dan kordinasi operasi bencana melalui penggunaan sistem komunikasi yang berteknologi moden dan canggih.

“Saya yakin dengan siapnya naik taraf ini urusan mengurus bencana di seluruh Sarawak lebih berkesan,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Pusat Kawalan Bencana Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Pada masa sama, Douglas menggesa orang ramai agar tidak melakukan pembakaran memandangkan cuaca panas dan kering ketika ini.

Dalam pada itu, Douglas menyatakan Sarawak sentiasa berada dalam keadaan siap siaga menghadapi musim kemarau akibat cuaca panas dan kering yang melanda ketika ini.

Pada masa ini, hanya lapan lokasi kebakaran direkodkan melibatkan daerah Mukah, dua di Betong,Simunjan, Sarikei, Bintulu,Miri dan Lawas.

Katanya, JPBNS juga diarah agar sentiasa memantau keadaan semasa terutama di kawasan tanah gambut.

“Jika didapati ada kesan kebakaran dilakukan, tindakan segera harus diambil,” katanya.