KUCHING: Dengan memiliki akses dan kesalinghubungan wilayah yang lebih baik, Sarawak bersedia menganjurkan lebih banyak acara bertaraf antarabangsa, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, satu daripadanya ialah acara The Borneo 100 Triathlon 2026.
“The Borneo 100 Triathlon 2026 di Sematan adalah tepat pada masa, platform dan hala tujunya,” katanya mengumumkan Sarawak akan menganjur acara itu di Sematan tahun ini.
Acara itu akan dianjurkan bersama Kelab Triatlon Kuching Selatan dan Grit Event Management, katanya dan menzahirkan penghargaan kepada kedua-dua persatuan berkenaan atas kejayaan membawa acara menarik dan bertaraf antarabangsa itu ke Sarawak.
The Borneo 100 Triathlon adalah acara bertaraf antarabangsa di bawah Persatuan Triatlon Malaysia.
Abdul Karim berkata, The Borneo 100 Triathlon bukan sahaja berjaya menarik peserta dalam negara tetapi juga dari Singapura, Brunei, Indonesia, Jepun, Jerman, Filipina, China, Russia dan Itali.
“Kejayaan menarik peserta dari luar negara, membuktikan Sarawak mampu menganjur acara sukan bertaraf antarabangsa dan kementerian bersedia menyokong inisiatif berkenaan,” katanya.
Menurut Abdul Karim, dengan penyertaan lebih 20 peratus atlet antarabangsa, The Borneo 100 Triathlon di Sarawak berpotensi berkembang dan diiktiraf sebagai acara triathlon antarabangsa.
