KOTA SAMARAHAN: Sarawak memperkukuhkan peranannya sebagai hab penyelidikan dan inovasi bertaraf dunia menerusi penganjuran Persidangan Antarabangsa Sarawak SHInE 2026 dijadual berlangsung pada 9 hingga 11 September depan di Kuching.
Persidangan bertemakan “Advancing Science, Health, Innovation and Engineering” itu menjadi platform strategik menghimpunkan pakar, penyelidik, pemain industri serta pembuat dasar dari dalam dan luar negara bagi membincangkan cabaran serta penyelesaian dalam bidang sains, kesihatan dan teknologi.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, SHInE 2026 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memacu kecemerlangan penyelidikan yang memberi impak praktikal kepada pembangunan Sarawak.
“Persidangan ini bukan sekadar ruang perkongsian ilmu, tetapi platform untuk membina jaringan kerjasama yang mampu menghasilkan penyelesaian sebenar kepada cabaran semasa di peringkat tempatan dan global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pertama SHInE 2026 di Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika Sarawak (TROPI), di sini, hari ini.
Katanya, lebih 300 peserta dijangka menghadiri persidangan tersebut yang akan menampilkan lebih 30 penceramah pakar termasuk dari negara luar serta 30 sesi merangkumi pelbagai bidang kepakaran.
Anjuran Sarawak Research and Development Council (SRDC) dan Sarawak Infectious Disease Centre (SIDC), persidangan itu turut menampilkan perbincangan panel yang memfokuskan kepada usaha mempercepatkan pembangunan teknologi mampan serta meningkatkan impak inovasi di Sarawak.
