KUCHING: Projek naik taraf Stadium Sarawak bagi menyambut Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027 berjalan dengan baik, namun risiko kelewatan wujud sekiranya konflik di Timur Tengah berterusan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebahagian peralatan utama stadium termasuk kerusi, dibekalkan dari luar negara dan sebarang gangguan bekalan boleh menjejaskan jadual kerja.
“Kontraktor yang dilantik menunjukkan prestasi memuaskan, tetapi perkembangan geopolitik global menjadi cabaran tambahan. Setakat ini kerja lancar, tetapi kita tidak boleh ambil mudah risiko gangguan bekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan Borneo 100 Triathlon 2026 di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, transformasi stadium kini melibatkan perubahan besar di bahagian dalaman dan kemudahan tempat duduk.
Katanya, hampir semua kawasan duduk kini lengkap dengan kerusi, berbeza dengan susunan lama yang hanya separa siap.
“Selain persiapan SEA 2027, perhatian turut diberikan kepada SUKMA Selangor 2026, khususnya logistik dan kos perjalanan kontinjen Sarawak dan Sabah.
“Risiko kos meningkat kerana mereka bergantung kepada penerbangan antarabangsa, yang mungkin terjejas akibat konflik global,” katanya.
