KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang menilai cadangan pembenihan awan bagi meningkatkan taburan hujan susulan cuaca panas dan kering di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata langkah itu merupakan usaha awal bagi menghadapi kemungkinan kekurangan bekalan air dan turut disarankan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)berdasarkan pengalaman di Semenanjung Malaysia.
“Pembenihan awan sedang dijalankan di Semenanjung, dan kita akan mempertimbangkan kaedah sama apabila keadaan mengizinkan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Bil. 3/2026 di Wisma Bapa Malaysia (WBM), di sini, hari ini.
Uggah berkata, jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat bahagian dan daerah diarahkan memantau situasi semasa serta mengambil tindakan segera di kawasan terjejas.
Katanya, bantuan juga disalurkan melalui Jabatan Air Luar Bandar dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meringankan beban penduduk.
“Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat ini berada pada tahap sederhana, namun kerajaan mengeluarkan amaran awal akibat risiko kebakaran meningkat dengan cuaca panas.
“Beberapa kebakaran kecil dilaporkan di Mukah, Betong, Sarikei, Miri, dan Lawas, semuanya berjaya dipadamkan. Kawasan tanah gambut dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi dan memerlukan pemantauan rapi.
“Justeru, orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, sementara pihak berkuasa termasuk Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) akan mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar,” katanya.
