Kampung Baru Daro terima 29 projek, demi keselesaan penduduk

DARO: Sebanyak 29 projek berimpak besar bernilai RM10.53 juta dilaksanakan di Kampung Baru, sekali gus membuktikan kawasan itu menikmati arus pembangunan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, jumlah tersebut tidak termasuk pelbagai projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) serta Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) yang turut memberi manfaat kepada penduduk.

Katanya, pembangunan di Kampung Baru merangkumi penyediaan kemudahan asas dan prasarana komuniti yang semakin baik.

“Pada peringkat awal, kampung ini hanya mempunyai surau sementara, namun kini telah memiliki surau baharu yang dinaik taraf bagi keselesaan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri 2026 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Baru.

Selain itu, sebuah dewan serbaguna turut dibina bagi menyokong pelbagai aktiviti masyarakat.

Dalam majlis sama, beliau turut merasmikan gelanggang futsal yang diusulkan golongan belia kampung tahun lalu sebagai tanda keprihatinan terhadap keperluan generasi muda.

Dr Safiee turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Kampung Baru atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program kemasyarakatan serta mengekalkan perpaduan.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada JKKK Kampung Baru Hilir, JKKK Kampung Baru Hulu serta PPWS bagi menyokong aktiviti komuniti dan pembangunan.