KUCHING: Kolej Komuniti Mas Gading (KKMG) mengadakan kursus keusahawanan dan kursus penanaman dan penjagaan hidroponik di Rumah Nyaun Sungai Duan, Balingian baru-baru ini.
Kursus diadakan Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) KKMG dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Persatuan Tuai Rumah Jalan Bukut Balingian.
Menurut kenyataan KKMG hari ini, kursus ini untuk melahirkan usahawan serta menjana sosioekonomi penduduk terutamanya di kawasan rumah panjang sekitar pembangunan projek kuasa SEB.
Kursus keusahawanan ‘Woman Empowerment Entreprenuership’ terbabit diajar Alice Ajan manakala kursus penanaman dan penjagaan hidroponik diajar Chong Man Lung yang berpengalaman luas dalam bidang ini.
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Mas Gading (KKMG) Shirley Phillip berkata, pihaknya menyediakan tenaga pengajar dalam menjayakan kursus itu kepada kaum wanita di Rumah Nyaun dan sekitar rumah panjang terbabit yang di bawah kawasan Penghulu Jeffery Irut.
“Pihak KKMG akan terus memberi kerjasama kepada pihak SEB melalui jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SEB pada masa akan datang dengan merangka pelbagai program khasnya kepada komuniti luar bandar,” tambahnya dalam majlis penutupan kursus itu.
Menurutnya ini seperti yang pernah mereka laksanakan bersama dengan Persatuan Pertanian dan Penternak Lundu Sematan (PETAPEN) dan Persatuan Biro Wanita Singai baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat KKMG, Lenny Lai Mei Lan dan Ketua-ketua Rumah Panjang Lubuk Bukut, ketua-ketua masyarakat, pegawai-pegawai dari SEB dan KKMG.