Tinggalkan legasi yang berharga

KUALA LUMPUR: Legasi tidak ternilai yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud sebagai Bapa Pemodenan Sarawak akan sentiasa hidup di dalam hati semua.

Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Datuk Mutang Tagal berkata, tokoh ulung dan pemimpin lebih enam dekad itu telah mengabdikan hidupnya untuk Sarawak.

Menurutnya, beliau telah membuat sumbangan yang signifikan kepada pembangunan dan kemajuan Sarawak, sekali gus meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan dalam sejarah negeri ini dan kehidupan rakyat.

“Kepimpinan yang berwawasan, dedikasi kepada perkhidmatan awam dan usaha tanpa lelah untuk meningkatkan kehidupan rakyat Sarawak akan terus diingati dan dihargai oleh generasi akan datang.

“Saya memanjatkan doa dan ingatan kepada keluarga beliau, rakyat Sarawak dan semua yang merasai pemergian mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu,” katanya dalam kenyataan.