Kursus Kepimpinan Wanita Parti PBB Bukit Saban himpunkan 187 ahli

SPAOH: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban menganjurkan Kursus Kepimpinan Wanita N37 Bukit Saban di Dewan Masyarakat Spaoh, semalam.

Program tersebut menghimpunkan seramai 187 Ahli Jawatankuasa (AJK) Ranting Wanita N37 Bukit Saban terdiri daripada barisan kepimpinan di peringkat ranting bagi meningkatkan keupayaan mereka dalam aspek kepimpinan dan organisasi.

Majlis perasmian kursus disempurnakan oleh Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan kapasiti kepimpinan wanita perlu diperkasakan secara berterusan agar mampu memenuhi cabaran semasa.

Menurut beliau, kursus berkenaan merupakan satu inisiatif penting untuk mempertingkatkan ilmu, kemahiran komunikasi serta pengurusan organisasi dalam kalangan pemimpin wanita, sekali gus melahirkan barisan kepimpinan yang lebih berwibawa dan berkesan.

“Kepimpinan wanita di peringkat ranting memainkan peranan penting sebagai penghubung antara organisasi dengan masyarakat, khususnya dalam menyampaikan aspirasi parti serta memastikan keperluan komuniti sentiasa diberi perhatian,” katanya.

Peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian termasuk latihan berkumpulan, komunikasi berkesan serta aktiviti yang bertujuan meningkatkan keyakinan diri, kemahiran berinteraksi dan keupayaan mengurus organisasi secara lebih sistematik.

Natasha berkata, program seperti itu turut membuka ruang kepada peserta untuk memperkukuh jaringan kerjasama sesama ahli, selain meningkatkan kesiapsiagaan mereka sebagai penggerak organisasi dan pemangkin pembangunan komuniti di kawasan Bukit Saban.

Kursus tersebut menampilkan Hazemi Entek sebagai penceramah yang menyampaikan ceramah motivasi kepimpinan wanita serta mengendalikan sesi perkongsian ilmu dan bimbingan.