JBPM Sarawak perkukuh kesiapsiagaan hadapi Super El Nino

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memperkukuhkan kesiapsiagaan dengan mengatur gerak aset darat dan udara secara strategik.

Langkah itu susulan peningkatan kes kebakaran terbuka dalam tempoh tiga hari kebelakangan ini ketika negeri itu berdepan fenomena Super El Nino.

Pengarah JBPM Sarawak, PKPJB Jamri Masran berkata, persiapan dan penyusunan gerak kerja dilaksanakan secara berterusan dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan sumber manusia serta pengoptimuman aset darat dan udara yang ditempatkan di lokasi titik panas dan kawasan baharu yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Katanya, berdasarkan analisis serta pemantauan berterusan bermula 1 Julai lalu, berlaku peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka dalam tempoh tiga hari iaitu pada 10 hingga 12 Julai, dengan Bahagian Kuching dan Miri merekodkan jumlah kes tertinggi berbanding bahagian lain di negeri itu.

“Walaupun jumlah kes masih terkawal dan berada pada tahap stabil, JBPM bimbang insiden kebakaran terbuka akan terus meningkat sekiranya tiada kawalan dan kesedaran masyarakat sepanjang cuaca panas ini.

“Keadaan itu bukan sahaja boleh menyebabkan kebakaran merebak, malah berpotensi menjejaskan kesihatan awam serta aktiviti harian penduduk akibat pencemaran asap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamri sehubungan itu menasihat orang ramai supaya menghentikan aktiviti pembakaran terbuka sepanjang tempoh cuaca panas bagi mengelakkan risiko kebakaran yang lebih serius.

Katanya lagi, JBPM Sarawak akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap individu atau syarikat yang melakukan pembakaran terbuka sehingga menjejaskan alam sekitar.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kebakaran hutan dilaporkan berlaku di Taman Negara Niah semalam, dipercayai berpunca daripada sambaran petir yang mengakibatkan kebakaran pokok di puncak bukit batu kapur.

Katanya, JBPM telah memohon bantuan Unit Udara Bomba yang berpangkalan di Miri bagi melaksanakan operasi pemadaman menggunakan kaedah water bombing dari udara.