Mesyuarat Agung Parti PBB Cawangan Krian nyatakan sokong padu kepada Premier Sarawak

SARATOK: Mesyuarat Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Krian menjadi medan memperkukuhkan perpaduan dan kesepakatan ahli dalam memperkasakan organisasi parti di peringkat akar umbi.

Kira-kira 40 ahli menghadiri mesyuarat itu sambil menyatakan kesediaan memberikan sokongan penuh kepada calon Parti PBB-GPS pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Parti PBB Ranting Ulu Krian, Padang Luna berkata, kekuatan keahlian serta jentera parti yang aktif berkhidmat kepada masyarakat menjadi asas wajar untuk Parti PBB diberi peluang mewakili kawasan DUN Krian atau Parlimen Saratok.

Beliau berkata, jentera parti sentiasa turun padang mendekati rakyat menerusi pelbagai program kemasyarakatan yang mencerminkan komitmen parti terhadap pembangunan dan kebajikan penduduk.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB Krian, Patricia Augustine berkata, calon yang dipilih perlu berintegriti, berjiwa rakyat dan mampu meneruskan agenda pembangunan secara inklusif.

Sepanjang mesyuarat, ahli turut mendengar pembentangan laporan daripada Setiausaha Cawangan serta sayap Wanita, Pemuda dan Belia berhubung pelaksanaan pelbagai program sepanjang tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, dimaklumkan keahlian Parti PBB Cawangan Krian kini hampir mencecah 5,000 orang, sekali gus mencerminkan peningkatan sokongan masyarakat terhadap parti.

Mesyuarat itu turut menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta menegaskan komitmen untuk terus mendukung agenda pembangunan Kerajaan Sarawak di bawah GPS berlandaskan semangat “Jaga Sarawak, Intu Sarawak.”