KUCHING: Seiring dengan perkembangan fasa pembangunan yang pesat, Sarawak bakal melakar satu lagi sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia yang membangunkan satu strategi khusus bagi memerangi rasuah.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, pembangunan yang pesat perlu disokong oleh sistem tadbir urus yang kukuh.
Kemajuan ekonomi tanpa disokong oleh nilai integriti yang kukuh akan meningkatkan risiko ketirisan, salah guna kuasa dan rasuah yang akhirnya menjejaskan keyakinan rakyat, pelabur dan rakan strategik, katanya merasmikan bengkel Sarawak Anti-Corruption Strategy (SACS) di sini hari ini.
SACS, katanya, merupakan satu langkah yang tepat pada masanya bagi memperkukuh budaya integriti, tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam semua sektor serta lapisan masyarakat di negeri ini.
Katanya, ini demi memastikan pembangunan terus dilaksanakan secara telus, beretika dan mampan.
Dr Juanda berkata, SACS bukan dibangunkan sebagai berasingan tetapi sebagai menyokong Strategi Anti Rasuah Kebangsaan (NACS) 2024-2028 dengan mengambil kira keunikan landskap tadbir urus Sarawak, kerangka institusi dan keutamaan pembangunan.
Pada masa sama, beliau berkata, ia sejajar dengan prinsip Konvensyen Memerangi Rasuah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCAC), mengukuhkan ketelusan, akauntabiliti, penglibatan awam dan tadbir urus yang baik.
