KUCHING: Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi AirĀ (PETRA) Skuad Zon Sarawak diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof melawat PETROS Multifuel Station (MFS Darul Hana, di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air telah diiringi Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain dalam lawatan terbabit.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) yang juga ADUN Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
PETROS MFS Darul Hana merupakan stesen pengisian bersepadu pertama yang dibangun SEDC Energy Sdn Bhd (SEDCE) iaitu anak syarikat milik penuh SEDC manakala stesen itu yang kedua dibangunkan di Batu Kawa di sini.
Melalui konsep ini, pengguna dapat mengakses produk petroleum (RON95, RON97 dan Diesel); kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV); dan kemudahan pengisian hidrogen bagi kenderaan berasaskan hidrogen.
Selain itu, stesen ini turut dilengkapi dengan kemudahan sokongan seperti restoran makanan segera, kedai serbaneka, surau dan tandas
bagi meningkatkan keselesaan pengguna.
Inisiatif ini pada asalnya dilaksanakan sebagai pembuktian konsep, namun kini telah berkembang menjadi penanda aras kepada kementerian dan agensi berkaitan dalam merangka serta menambah baik dasar tenaga bersih di peringkat negeri dan Persekutuan.
Selain dua stesen utama di Kuching, SEDCE sedang dan akan memperluaskan pembangunan MFS ke beberapa lokasi strategik, seperti, Bintulu (dalam pembinaan) Miri, Sibu dan Sri Aman.
