RTB Sibu, Kuching, Samarahan diteruskan, bekalan air bersih untuk kesejahteraan rakyat

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama Kerajaan Sarawak komited memastikan pengurusan air dan sungai yang lebih baik, sekali gus menjamin bekalan air bersih kepada seluruh rakyat Sarawak dan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, selain itu kementerian turut meneruskan Projek Tebatan Banjir (RTB) di Sibu, Kuching dan Samarahan.

Katanya, anggaran kos fasa kelima RTB Sibu adalah sekitar RM468 juta, manakala fasa keempat melebihi RM120 juta, katanya kepada media selepas majlis penyerahan projek-projek siap di bawah PETRA di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Fadillah menyerahkan projek RTB fasa ketiga Stakan dengan kos RM97.2 juta yang telah siap pada Disember 2023 kepada Kerajaan Sarawak.

Menurut beliau, di kawasan Stakan, Muara Tuang dan Kota Sentosa keadaan banjir sudah berkurangan, namun masih terdapat beberapa kawasan yang perlu diberi perhatian.

Di Kuching, katanya, program utama ialah RTB fasa dua yang merangkumi RTB Samariang.

“Cadangan itu sedang dikemukakan untuk kelulusan Majlis Jemaah Menteri,” katanya dan menambah, pada asalnya hanya RTB Kuching fasa dua dipohonkan, namun atas permintaan Kerajaan Sarawak, RTB Samariang perlu dirancang secara menyeluruh.

Persetujuan secara prinsip telah dicapai tetapi kelulusan rasmi masih belum diperoleh, tegas beliau.

Fadillah memberitahu, tambahan untuk Samariang dianggarkan melebihi RM120 juta dan secara keseluruhan projek itu dianggarkan sekitar RM2.6 bilion tertakluk kepada kelulusan.

Terdahulu, Fadillah melawat Kampung Sungai Lumut bagi meninjau sistem pam bertujuan memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada kawasan sekitar.

Beliau kemudiannya melawat projek Lembangan Sungai Bersepadu yang bertujuan mengurangkan kejadian banjir di Kampung Sinjan dan Kampung Bersik.

Mengenai cadangan model perniagaan baharu bagi pengurusan air tidak berhasil (NRW), beliau berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan dan perincian di peringkat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta syarikat utiliti.

Kadar purata NRW ketika ini adalah 38.4% dan terdapat negeri yang mencatat lebih 40%, katanya dan menegaskan, pendekatan kerajaan adalah menyalurkan geran Persekutuan untuk membantu menaik taraf paip dan sistem pengagihan.

Bagi negeri dengan kadar di bawah 40%, mereka perlu melabur terlebih dahulu, dan Kerajaan Persekutuan akan menyediakan pembiayaan padanan berdasarkan penjimatan yang berjaya dicapai, katanya.