Syarikat Bumiputera Sarawak bakal disenarai di Bursa

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengenal pasti syarikat Bumiputera berpotensi tinggi tempatan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini sebagai langkah memperkasa syarikat terbabit dan menyasarkan mengenalpasti sekurang-kurangnya lapan syarikat itu bagi penyenaraian terbabit.

“Ini dengan sasaran sekurang-kurangnya satu syarikat berjaya disenaraikan sebelum penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Majlis Teraju Aspirasi Outreach Sarawak 2026: Merealisasikan Penskalaan Penciptaan Nilai Syarikat Bumiputera di TEGAS Digital Village di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, selain itu Sarawak juga menyasarkan lonjakan ketara dalam pelaburan bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Menjelang tahun 2030, Sarawak dijangka berupaya menjana sehingga 10,000 megawatt tenaga, terutamanya daripada sumber hidro dan solar,” tambahnya.

Katanya, peningkatan kapasiti tenaga boleh diperbaharui ini akan terus memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab pelaburan serantau dan kerajaan negeri komited menarik pelaburan dalam sektor teknologi tinggi dan industri bernilai tambah tinggi.

Menurutnya, ini bukan sahaja meningkatkan daya saing ekonomi, malah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat.