SPK, infrastruktur jalan fokus utama Kota Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Perancangan tersusun dan berasaskan data tepat amat penting bagi memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan ini memberi impak kepada rakyat.

Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang menegaskan, isu Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan infrastruktur jalan perlu diberi tumpuan memandangkan ia merupakan agenda dalam perancangan pembangunan di kawasan tersebut.

Tegasnya, isu berkaitan SPK yang berlaku di beberapa kawasan di sini memerlukan tindakan segera dan penyelesaian komprehensif oleh pihak berkaitan.

Selain itu katanya, cadangan pembinaan jalan baharu turut diberi perhatian serius, khususnya di kawasan sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Samarahan yang dijangka mula beroperasi dalam masa terdekat.

Tambah Rubiah, perancangan infrastruktur jalan yang efisien amat penting bagi memastikan kelancaran trafik serta memudahkan akses penduduk, khususnya pelajar dan warga sekolah.

“Perancangan awal ini penting supaya kita dapat mengelakkan kesesakan serta memastikan kemudahan asas disediakan seiring dengan pertambahan pembangunan di kawasan ini,” katanya semasa perbincangan diadakan di sini hari ini.

Hadir sama, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan Ahmad Raslan Yaiyah, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin dan Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) Anuar Da’an.