SIMUNJAN: Projek pembinaan jalan ke Kampung Sungai Ba di sini dijangka siap pada Januari 2027.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, ketika ini projek pembangunan infrastruktur itu sedang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membangunkan kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Mahabbah Aidilfitri Zon Pangkor 2026 di Dewan SK Sungai Ba, di sini, hari ini.
Rodiyah sehubungan itu menggalakkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk terus aktif memohon Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi mempertingkatkan pembangunan kampung secara berterusan.
“Selain itu, pemimpin kampung disaran agar sentiasa peka terhadap keperluan serta permasalahan di kawasan masing-masing,” tambahnya.
Beliau juga meminta mereka menyalurkan permasalahan itu kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut, termasuk berkaitan kebajikan penduduk.
