LIMBANG: Kerajaan Persekutuan bersetuju memperuntukkan RM200,000 untuk menaik taraf sistem penghawa dingin di Hospital Limbang, kata Timbaan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail.
Beliau berkata, projek tersebut akan menyediakan persekitaran lebih kondusif kepada pesakit.
“Peruntukan itu amat diperlukan memandangkan beberapa kemudahan di hospital berkenaan yang sudah usang dan daif,” katanya pada Majlis Ramah Aidilfitri Kampung Meritam di sini semalam.
“Saya telah memohon peruntukan itu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof ketiika melawat Limbang baru-baru ini.
“Fadillah bersetuju memperuntukkan RM200,000 untuk menaik taraf kemudahan penghawa dingin di hospital Limbang,”katanya
Hadir sama Pengerusi Bersama Majlis Ramah Aidilfitri Kampung Meritam Emran Ahmad dan Ketua Kampung Meritam Mahmud Gampal.
Permohonan sejajar dengan usaha untuk menjadikan Limbang sebagai Hospital Memiliki Doktor dan sekali gus menjadikannya sebagai pusat rujukan untuk bahagian Limbang dan Lawas tanpa perlu dihantar ke Miri, katanya.
Ketika ini, tambahnya, ramai pesakit terpaksa dirujuk ke Hospital Miri susulan kekurangan prasarana dan kakitangan perubatan.
