‘Rock Melon’ Tanjung Manis bakal tuai pertama Mei depan

SARIKEI: Timbalan Menteri Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh menzahirkan rasa puas hati dengan hasil kemajuan tanaman buah tembikai wangi atau ‘rock melon’ di Tanjung Manis di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rejang semasa melawat tapak tanaman itu hari ini memberitahu, kejayaan itu adalah hasil projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang diusahakan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR).

“Selepas mencatatkan rekod pertumbuhan 100 peratus sejak mula disemai pada awal Mac lalu, tanaman tersebut kini mula berbuah dan dijangka dituai buat kali pertama pada 25 Mei ini,” katanya.

​Menurut beliau, kemajuan positif ini menunjukkan keberkesanan teknologi pertanian pintar dan presisir yang diperkenalkan di kawasan Tanjung Manis dengan bimbingan teknikal daripada pakar industri, Skyscraper Airhydro Industries Sdn Bhd.

Projek yang dibiayai Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Sarawak itu, katanya, memfokuskan kepada kualiti hasil yang ditentukan secara saintifik, termasuk kawalan tahap kemanisan (Brix) serta tekstur buah bagi memastikan ia menepati standard premium.

Kejayaan fasa pertama ini diharap bakal menjadi pemangkin dan inspirasi kepada pihak lain di seluruh Sarawak untuk mula mengadaptasi kaedah fertigasi dan hidroponik moden, tegas beliau.

Len Talif berkata, transformasi ini dilihat penting dalam memacu sektor pertanian negeri ke arah teknologi tinggi, sekali gus meletakkan hasil tani tempatan pada tahap yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.