SDEC buka premis operasi bersepadu

KUCHING: Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad (SDEC) semalam melancarkan empat premis baharunya di Royal Bay Commercial Centre di Pending.

Kemudahan terbaharu itu merangkumi Pusat Rangkaian Operasi SDEC (NOC). Pusat Operasi Teknikal (TOC), Lab Prototyping IR4.0 yang diperbesarkan dan pusat penyimpanan, kata SDEC dalam satu kenyataan di sini.

Premis itu direka khas sebagai hab operasi bersepadu SDEC dengan menggabungkan fungsi penting dalam ekosistem yang disatukan.

Dengan menyatukan NOC, TOC dan ruang kerja operasi, ia akan membolehkan pemantauan dalam masa sebenar, merespons kejadian lebih pantas dan penyelarasan lebih cekap antara pasukan.

Penyatuan operasi di premis berkenaan akan meningkatkan perkhidmatan, menambahbaik rangkaian kebolehan dan menjamin penyampaian kesalinghubungan lebih cekap terutama kepada penduduk luar bandar di negeri ini yang belum mendapat perkhidmatan sepenuhnya.

Satu lagi ciri penting kemudahan itu ialah pengembangan Lab Prototyping IR4.0 yang merangkumi dua pusat pakar, Pusat Kemajuan Robotik dan Keselamatan Siber Pusat Simulasi OT (Teknologi Pengoperasian).

Strategi pengembangan itu akan menangani AI secara fizikal dan mengenali sistem kecerdasan serta keselamatan siber OT dan melindungi infrastruktur penting.

Pusat Kemajuan Robotik akan fokus kepada usaha penggunaan robot dan Fizikal AI dalam aplikasi dunia sebenar. Ia bertujuan membina bakat tempatan, memperkasakan keupayaan sistem kecerdasan generasi akan datang dan menggerakkan inovasi hasil daripada usaha penyelidikan.

Pusat itu juga dijangka meningkatkan produktiviti, kecekapan dan ketahanan operasi dalam industri penting.