KUCHING: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak – UKAS), Datuk Abdullah Saidol hari ini menziarahi jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sarawak, Razali Nordin di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Dalam lawatan yang turut disertai Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, beliau menyampaikan sumbangan peribadi dan sumbanga daripada Kelab Kebajikan dan Rekreasi UKAS sebagai tanda sokongan dan keprihatinan.
Abdullah berkata, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban selain memberi semangat kepada Razali untuk terus tabah menghadapi ujian kesihatan.
“Ziarah dan sumbangan seperti ini adalah sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan kepada khidmat bakti warga media yang turut berperanan penting dalam Sarawak terutama sekali dari aspek penyebaran berita dan merapat jurang kefahaman antara masyarakat dan kerajaan,” ujarnya.
Beliau turut mendoakan agar Razali segera pulih dan kembali bertugas seperti biasa.
Razali, 54, yang berkhidmat lebih 20 tahun dalam bidang kewartawanan, kini sedang menerima rawatan akibat komplikasi penyakit melibatkan injap jantung, batu karang, gangguan buah pinggang serta diabetes.
Selain itu, beliau turut menziarahi anak kepada kakitangan UKAS, Rais Sanusi, yang dirawat di HUS akibat masalah pernafasan.
