Kerajaan Sarawak peruntuk RM365.7 juta bagi pembangunan PMKS

KUCHING: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kini menyumbang sebanyak 18 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), ini dijangka terus dipertingkatkan melalui program dan inisiatif oleh Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

Ini termasuk program pemerkasaaan PMKS meliputi pembangunan kapasiti dan kemahiran, bantuan kewangan, pembangunan dan pemasaran produk, pengembangan pasaran dan penyediaan ekosistem seperti estet perindustrian dan premis perniagaan.

“Kerajaan Sarawak memperuntuk RM365.7 juta bagi pembangunan PMKS, dengan lebih 47,400 usahawan mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif kerajaan,” kata kenyataan itu sempena Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sarawak Entrepreneur Development Coordination Committee (SEDCC) Bil. 1/2026 hari ini.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Menurut MINTRED bagi mengharungi cabaran semasa, PMKS disaran meningkatkan kapasiti dan kapabiliti untuk terus bersaing di peringkat global.

“Selain sektor konvensional, PMKS juga akan disarankan untuk menyertai rantaian bekalan dan nilai yang ditawarkan oleh pelabur (FDI dan DDI) khususnya di taman dan estet peridustrian,” tambahnya.

Selain itu PMKS juga disaran terlibat dalam sektor ekonomi baharu seperti pembangunan tenaga boleh baharu, aerospace, digitalisasi dan keterjaminan makanan.

Program dan inisiatif ini akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Teknikal yang akan diterajui oleh MINTRED untuk memastikan memberi impak kepada golongan sasar.