MUKAH: Penerima bantuan dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dari agensi kerajaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian disaran memanfaatkan dana tersebut .
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata ini termasuk meningkatkan kemudahan sekolah mahupun memperkukuh aktiviti kemasyarakatan.
“Peruntukan tersebut merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan penduduk luar bandar terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan inisiatif Bantuan Dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Mukah bagi tahun 2026, di sini, semalam.
Sebanyak empat penerima Bantuan Dana CSR itu berjumlah keseluruhan sebanyak RM50,000 di DUN Tellian bertujuan memperkukuh pembangunan pendidikan serta kesejahteraan masyarakat di peringkat akar umbi.
Penerima terbabit ialah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Sikat yang menerima peruntukan sebanyak RM20,000.
Selain itu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Randi Ak Ugil, Rumah Empi Ak Daweh dan Rumah Minggu Ak Garung masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM10,000.
Hadir sama, Pegawai Tanah JTS Mukah, Norhafizawati Hasbi; wakil Pegawai Daerah Mukah dan SAO Christopher Maurice.
