GPS buktikan keupayaan mentadbir, lima kekuatan sebagai teras

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggariskan lima sebab menjadi gabungan yang mampu menjamin masa depan Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Konvensyen GPS 2026 Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebab pertama ialah GPS adalah parti tempatan, berakar umbi di bumi Sarawak dan keutamaan GPS bukan agenda luar, tetapi kepentingan rakyat Sarawak dari bandar hingga ke pedalaman.

“GPS memahami cabaran sebenar rakyat, jalan luar bandar, bekalan air dan elektrik, pendidikan, serta
peluang ekonomi. Keputusan yang dibuat lebih dekat dengan realiti rakyat, bukan dipengaruhi kepentingan luar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Konvensyen GPS 2026 dirasmikan Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Uggah berkata, sebab kedua ialah GPS telah membuktikan keupayaan mentadbir dengan stabil dan berkesan di bawah kepimpinan Premier Sarawak hingga melonjak ke arah ekonomi baharu dari segi tenaga hijau, ekonomi digital dan pembangunan infrastruktur berskala besar.

“Pelaburan dalam tenaga hidro, hidrogen dan teknologi digital menunjukkan visi jauh ke hadapan,
memastikan Sarawak tidak ketinggalan,” katanya.

Menurutnya, sebab ketiga ialah GPS tegas dalam mempertahankan hak Sarawak di bawah usaha MA63, mendapatkan kembali hak ke atas sumber, termasuk minyak dan gas, telah memperkukuh kedudukan kewangan negeri dan hasilnya
dapat dinikmati oleh rakyat.

“Keempat, GPS berjaya mengekalkan perpaduan antara pelbagai kaum dan agama di Sarawak,” tambahnya.

Menurutnya, dalam dunia yang tidak menentu, kestabilan ini menjadi kekuatan utama untuk menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan, dan memastikan pembangunan berterusan.

Kelima katanya, GPS mempunyai pelan jangka panjang yang jelas melalui PCDS 2030 dan matlamatnya jelas, menjadikan Sarawak negeri maju
berpendapatan tinggi.

“Dan yang paling penting, pendekatan ini inklusif. Tidak ada rakyat yang akan tercicir,” jelasnya.

Beliau berkata, kesimpulannya, hanya GPS yang mempunyai rekod, kepimpinan, visi dan keberanian untuk membawa Sarawak ke tahap seterusnya.