Sarawak di landasan kukuh, stabil – Dr. Sim

KUCHING: Keharmonian dan kesinambungan dasar di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) membolehkan negeri ini berada pada landasan yang lebih kukuh dan stabil.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, kejayaan yang dicapaikan Sarawak sejak enam tahun lalu adalah hasil usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan Sarawak bergerak ke hadapan secara lebih tersusun dan berdaya tahan.

Meski berhadapan dengan cabaran pada 2018, namun negeri ini kekal stabil di bawah kepimpinan GPS, katanya berucap pada majlis Konvensyen GPS 2026 yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg d Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, Sarawak bukan lagi berada di belakang seperti dahulu.

“Fasa lima tahun akan datang merupakan tempoh paling kritikal dalam agenda membina Sarawak sebagai sebuah negeri maju dari segi pembangunan fizikal uruh merangkumi pendidikan, ekonomi dan kesihatan,” katanya.

Dalam aspek kesihatan, beliau berkata, pembangunan Pusat Kanser Sarawak yang dijangka menjadi antara pusat rawatan utama di rantau ini akan peranan Hospital Umum Sarawak (HUS) sebagai pusat rawatan dan penyelidikan klinikal

Dr Sim turut menegaskan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik terus menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Dasar pembangunan Sarawak, tambahnya, dilaksanakan secara inklusif merangkumi semua kaum dan agama, termasuk sokongan kepada pelbagai aliran pendidikan seperti sekolah Cina serta bantuan kepada rumah ibadat dan komuniti.

Menurutnya, perpaduan rakyat menjadi kekuatan utama Sarawak yang menyumbang kepada kestabilan politik serta menarik minat pelaburan luar.

Beliau berkata, di bawah Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Sarawak mempunyai hala tuju jelas untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Masa depan Sarawak bergantung kepada perpaduan kita semua untuk memastikan negeri ini terus maju, stabil dan inklusif,” katanya.