KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meletakkan calon di semua kawasan yang dipertandingkan pada pilihan raya akan datang.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, hanya gabungan itu mempunyai keupayaan mengurus dan memahami keperluan Sarawak secara menyeluruh.
Katanya, keupayaan Sarawak itu turut menyumbang kestabilan Malaysia.
“GPS akan terus mempertahankan kestabilan negeri ini kerana Sarawak memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia kekal stabil,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa penutupan Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, semalam.
Abang Johari menambahkata, Sarawak kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan parti luar mencampuri urusan politik negeri.
Katanya, mereka sebaliknya diminta mengekalkan kestabilan melalui kerjasama dalaman yang kukuh.
“Kita bersaudara dan bekerjasama, tetapi jangan kacau ‘keluarga’ Sarawak,” tegasnya.
Menurut beliau, masa depan Sarawak harus ditentukan oleh rakyat negeri ini sendiri kerana hanya anak Sarawak yang benar-benar memahami budaya serta realiti politik tempatan, walaupun hubungan kerjasama dengan rakan di Semenanjung terus diperkukuh.
Di samping itu, beliau juga menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan hak negeri sambil mengambil pendekatan berhati-hati dalam menghadapi perubahan ekonomi baharu.
Katanya, setiap langkah yang diambil perlu diteliti secara mendalam dan berlandaskan undang-undang sedia ada bagi memastikan kepentingan Sarawak terus terpelihara tanpa risiko akibat keputusan tergesa-gesa.
“Jangan gopoh. Jika kita terburu-buru, kesannya boleh menjadi buruk. Kita akan kaji setiap perkara dengan teliti mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Sarawak bukan bersifat tertutup, sebaliknya tetap mengambil kira kepentingan Malaysia secara keseluruhan berikutan kekuatan ekonomi Sarawak akan turut menyumbang kepada kestabilan dan kemajuan negara.
