Kepimpinan berwawasan bawa hala tuju pembangunan Sarawak

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi gambaran jelas mengenai hala tuju pembangunan Sarawak secara menyeluruh.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif salleh berkata, penekanan yang diberikan merangkumi corak kepimpinan,infrastruktur asas, pendidikan, ekonomi baharu dan modal insan.

Antara perkara utama yang disentuh ialah usaha memperkukuh bekalan air di Sarawak, yang merupakan isu berterusan di peringkat akar umbi, katanya mengulas ucapan Premier yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) semasa merasmikan Konvensyen GPS 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

“Kerajaan Pusat telah memberi lampu hijau kepada kerajaan negeri untuk memperkasa projek bekalan air, sekali gus membolehkan isu ini ditangani dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, ucapan tersebut menjadi panduan penting kepada pemimpin di peringkat kawasan untuk melaksanakan tindakan susulan selaras dengan dasar yang telah digariskan.

“Saya sebagai wakil rakyat mengambil maklum dan merakamkan penghargaan atas hala tuju yang jelas ini, yang akan membantu kami merancang dan melaksanakan pembangunan di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Kejayaan melaksanakannya, tambah beliau, memerlukan komitmen serta keikhlasan semua pihak, bukan untuk kepentingan individu tetapi demi kepentingan rakyat secara keseluruhan.

“Perpaduan dan kerjasama adalah asas utama dalam memastikan pembangunan dan kemajuan Sarawak dapat direalisasikan,” katanya lagi.

Beliau menegaskan semua peringkat kepimpinan termasuk parti, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta agensi berkaitan perlu memahami peranan masing-masing bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan.