KUCHING: Taman Delta Geo Sarawak bakal menerima pengiktirafan sebagai Taman Geo Global Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam masa terdekat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tam Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak kini menantikan sijil pengiktirafan rasmi itu sekali gus menjadikan taman delta geo pertama di Borneo.
“Kita doakan agar bulan depan Sarawak dapat sijil pengiktirafan UNESCO itu.
“Apabila kita mendapat pengiktirafan UNESCO, ia akan menjadi satu nilai tambah besar kepada industri pelancongan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perasmian Muzium Warisan Perindustrian Limbungan Kapal Brooke (Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum) di sini, malam tadi.
Hadir sama Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta tetamu kenamaan lain.
Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum yang sebelum ini dikenali Brooke Dockyard merupakan limbungan kapal yang pertama dibangunkan di Borneo dan Malaysia sejak 1912 pada era Charles Brooke.
Pada asalnya, ia menyediakan perkhidmatan untuk kapal-kapal raja sebelum berkembang kepada pembaikan kapal, sokongan minyak dan gas, serta latihan kejuruteraan, menjadikannya tempat kerja perindustrian pertama.
Abang Johari menambahkata, Sarawak kini sudah ada pengiktirafan antarabangsa di bawah UNESCO termasuk bagi Taman Negara Gunung Mulu sebagai tapak warisan semula jadi, Kompleks Gua Niah sebagai warisan budaya dan bandar raya Kuching sebagai bandar gastronomi.
Tambahnya, Sarawak juga memiliki Muzium Borneo yang dapat pujian pelawat antarabangsa dan duta asing kerana ciri interaktif serta kualitinya setanding atau mengatasi muzium di negara lain.
Beliau berkata, pencapaian itu meyakinkan kerajaan negeri menubuhkan syarikat penerbangan sendiri, AirBorneo, bagi menangani isu keterhubungan dan memperkukuh sektor pelancongan.
“Dengan AirBorneo, kita dapat membawa lebih ramai pelancong ke Sarawak dan mempromosikan khazanah yang kita miliki,” jelasnya.
