Sarawak akur jika SUKMA Ke-22 ditangguh

KUCHING: Sarawak sudah membuat persiapan rapi bagi Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 yang dijadual berlangsung di Selangor pada Ogos depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sejumlah besar sudah dibelanjakan bagi persediaan kontinjen negeri ke temasya itu yang hanya beberapa bulan sahaja lagi sebelum Ogos.

Katanya, ramai atlet Sarawak juga sudah menjalani latihan, termasuk sebahagiannya di luar negara.

“Lawatan di kesemua sembilan daerah di Selangor juga sudah dilakukan untuk mengenal pasti penginapan seperti inap desa bagi kontinjen Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Muzium Warisan Perindustrian Limbungan Brooke (BDY) di sini,malam tadi.

Perasmian dilakukan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abdul Karim berkata, ini kerana temasya ini tidak hanya tertumpu di Shah Alam tetapi diadakan di pelbagai lokasi.

Sehubungan itu, beliau mengakui kecewa sekiranya penangguhan temasya itu berlaku sehingga konflik di Timur Tengah reda, namun Kerajaan Sarawak akur dengan sebarang keputusan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor mengenai penangguhan SUKMA ke-22.

“Saya baru sahaja mengetahui perkara ini dan keputusan masih belum dimuktamadkan secara rasmi,” tambahnya.

Karim mengulas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan agar temasya sukan pelbagai acara itu ditunda sehingga konflik serantau reda.

Selain, memastikan kerja-kerja pengubahsuaian Stadium Shah Alam siap sepenuhnya, sambil mengambil kira kos penganjuran yang tinggi.