Dua anak syarikat LCDA terima anugerah, organisasi cemerlang

JAKARTA: Dua anak syarikat milik penuh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) menerima anugerah di Asia Winner Awards Night Ceremony 2026.

Anugerah tersebut sebagai menghargai organisasi yang menunjukkan kepimpinan, inovasi dan kecemerlangan merentas pelbagai industri di peringkat Asia dianjurkan oleh Mediatama Awards Management di Holiday Inn & Suites Jakarta Gajah Mada, di sini, baru-baru ini.

Menurut kenyataan LCDA, dua syarikat terbabit ialah LCDA Holdings Sdn Bhd (LHSB) dan LCDA Agri Business Sdn Bhd (LABSB).

“LHSB dianugerahkan Asian Best Choice Enterprise and Reputable Corporate Services Provider Award 2026,” menurut kenyataan itu.

Ini sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan prestasi dan penyampaian perkhidmatan korporat berkualiti tinggi.

Sementara itu, LABSB menerima Asia Best Choice Agricultural Activities Plantation Development Award 2026.

“Ini sebagai pengiktirafan pencapaian aktiviti pertanian dan pembangunan perladangan, serta sumbangannya dalam memajukan amalan agribisnes yang mampan,” tambah LCDA.

Delegasi LCDA diketuai Ketua Pegawai Eksekutif LABSB Bibi Umizah Osman sebagai wakil menerima kedua-dua anugerah dalam majlis tersebut yang disampaikan Naib Pengerusi Mediatama Management, Leo Setiawan S.E.