KUCHING: Sebanyak 32 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dibentangkan dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) Peringkat Negeri Sarawak.
Mesyuarat dipengerusikan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sarawak di Bangunan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang di sini, hari ini.
Menurut Fatimah, mesyuarat kali ini memberi fokus kepada proses verifikasi permohonan, fasilitasi proses permohonan serta pengemukaan syor kepada Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK).
“Semua keputusan akhir terhadap permohonan kewarganegaraan adalah tertakluk kepada dasar, peraturan dan mekanisme semasa yang berkuat kuasa.
“Daripada jumlah permohonan yang dibentangkan, sebanyak 21 melibatkan kategori anak tak sah taraf, 10 permohonan anak jagaan dan satu permohonan anak angkat,” katanya.
Tambah beliau, bagi tempoh 2024 hingga 8 Mei 2026, sebanyak 314 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A dibentangkan dalam mesyuarat bulanan JKKSK Peringkat Negeri Sarawak.
Daripada jumlah keseluruhan itu, 191 permohonan melibatkan kategori anak tak sah taraf, diikuti 98 anak jagaan dan 25 anak angkat.
