DHQC peneraju pembangunan Al-Quran – Dr Abdul Rahman

SIMUNJAN: Penubuhan Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana (DHQC) di bawah Majlis Islam Sarawak (MIS) menjadi langkah strategik Kerajaan Sarawak menyelaras serta menerajui agenda pemerkasaan al-Quran secara menyeluruh dan sistematik di seluruh negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, unit yang diwujudkan sejak tahun lalu itu berperanan memastikan setiap aspek berkaitan al-Quran, bermula daripada pembacaan, latihan, pengajaran sehinggalah kepada kajian ilmiah dipertingkatkan.

“Visi utama DHQC untuk menjadi pusat pembudayaan dan pengembangan ilmu al-Quran yang mendidik serta membimbing masyarakat ke arah pembentukan ummah yang sejahtera dan progresif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan 1447H/2026M di Dewan Mesra Simunjan, semalam.

Menurut beliau, DHQC yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Shalahudin Marzuki memberi penekanan khusus kepada pengukuhan sistem pendidikan al-Quran yang bersepadu serta pemerkasaan penyelidikan ilmiah dalam bidang tilawah.

Beliau turut menarik perhatian mengenai keberkesanan pusat tersebut melalui penglibatan tenaga penggeraknya, Nur Syakura Mohamad Musa, anak jati Samarahan yang baru-baru ini mengharumkan nama Sarawak apabila dinobatkan sebagai Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua penggiat institusi dan kelas al-Quran di seluruh negeri untuk bergabung tenaga dengan DHQC bagi memastikan kualiti asuhan anak-anak didik dapat diperkasakan, sekali gus melahirkan lebih ramai qari dan qariah berkualiti pada masa hadapan.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Residen Bahagian Samarahan merangkap Pengerusi Majlis Mohamad Irwan Bahari Bujang serta Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad.

Sementara itu, Qari dari Sebuyau, Arif Mustaqim Wan Bujang dan Fasihah Arpa dari Sadong Jaya dinobatkan sebagai johan qari dan qariah.

Mereka membawa pulang hadiah berupa emas seberat satu gram, wang tunai RM1,000, piala serta sijil penghargaan.