KUCHING: Di sebalik ketidaktentuan ekonomi dan krisis tenaga global, Sarawak kini muncul sebagai antara wilayah yang semakin mendapat perhatian pemain industri antarabangsa untuk dijadikan hab pelaburan tenaga masa depan.
Perkara itu terserlah apabila 18 syarikat dari Jerman tiba di negeri ini bagi meninjau sendiri peluang pelaburan yang sedang berkembang pesat, khususnya dalam sektor tenaga bersih, teknologi hijau dan pembangunan industri mampan.
Delegasi berkenaan mengadakan pertemuan bersama Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini, bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai hala tuju pembangunan ekonomi negeri.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Abang Hipni berkata, minat yang ditunjukkan syarikat-syarikat dari Jerman itu selari dengan usaha Sarawak memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju tenaga hijau di rantau Asia.
Menurut beliau, delegasi tersebut melibatkan syarikat yang beroperasi dalam bidang pengangkutan, tenaga, latihan industri, pembangunan teknologi serta pengurusan sumber manusia yang mahu melihat sendiri ekosistem pelaburan di Sarawak.
“Mereka bukan sekadar datang untuk menjalinkan hubungan perdagangan, tetapi mahu memahami bagaimana Sarawak sedang membentuk landskap tenaga baharu menerusi pembangunan hidrogen, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi karbon rendah,” katanya.
Beliau menjelaskan, antara sektor yang menjadi tumpuan utama termasuk pembangunan tenaga hidro, solar, hidrogen, ammonia, metanol dan teknologi penangkapan serta penyimpanan karbon yang kini semakin diberi perhatian di peringkat antarabangsa.
Tambahnya, perubahan geopolitik dunia dan ketidakstabilan bekalan tenaga global turut menyebabkan banyak syarikat luar mula mencari lokasi pelaburan yang lebih stabil, strategik dan berdaya tahan untuk jangka panjang.
“Keyakinan mereka terhadap Sarawak menunjukkan negeri ini semakin diyakini sebagai destinasi penting dalam agenda tenaga hijau dunia,” ujarnya.
