Hospital Saratok perlukan penambahbaikan fasiliti, berdepan kekangan ruang

KUCHING: Masalah berkaitan kemudahan kesihatan, bekalan air, elektrik, keselamatan dan infrastruktur antara perkara diutarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, Hospital Saratok yang beroperasi sekitar 1981 kini berdepan kekangan ruang dan kekurangan kepakaran perubatan apabila masih berstatus hospital tanpa pakar di bawah kluster Sarawak Timur.

“Kebanyakan pesakit terpaksa dirujuk ke Hospital Sarikei, Sibu atau Kuching bergantung kepada tahap kesihatan mereka kerana ketiadaan pakar di hospital berkenaan,” katanya semasa membahas Usul Penghargaan Yang di- Pertua Negeri semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Katanya lagi, Klinik Ibu dan Anak serta Klinik Pergigian yang menumpang di Hospital Saratok sejak sekian lama turut menyumbang kepada kesesakan ruang kerja dan keadaan kurang kondusif.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kedua-dua klinik berkenaan ditempatkan di premis berasingan sementara menunggu pembinaan Klinik Kesihatan Saratok jenis KK3 disegerakan.

Mohamad Duri berkata, jumlah pesakit luar di Hospital Saratok meningkat ketara daripada lebih 44,000 orang pada 2020 kepada sekitar 56,000 orang setahun sehingga 2026, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak menaik taraf kemudahan kesihatan di kawasan itu.

Selain isu kesihatan, beliau turut meminta kerajaan mempercepat kerja-kerja pengujian dan pentauliahan serta pemasangan meter air kepada penduduk di Kampung Perpat Hulu, Kampung Perpat Tengah, Kampung Perpat Hilir, Rumah Tanjong dan Kampung Paloh di seberang Kabong.

Beliau juga membangkitkan masalah tekanan air rendah di Kampung Kupang yang menjejaskan tiga kampung berhampiran.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan sistem sistem pengagihan baharu dibina dengan paip bersaiz lebih besar dari Simpang Bajau ke kampung tersebut.

Dalam isu bekalan elektrik pula, Mohamad Duri memaklumkan gangguan bekalan masih berlaku di Saratok sehingga menjejaskan aktiviti harian penduduk serta operasi perniagaan.

Beliau turut mencadangkan penyediaan sumber bekalan 33KV dari Pencawang 132/33KV Serudit ke Saratok selain menaik taraf distribution transformer di pekan, kampung dan rumah panjang di kawasan berkenaan.