Segerakan projek sistem air Matu-Daro, bekalan semakin kritikal terutama musim kemarau

KUCHING: Kerajaan digesa agar mempercepatkan pelaksanaan projek Cadangan Sistem Air Matu-Daro bagi mengatasi gangguan bekalan air yang semakin kritikal di kawasan itu, terutama ketika musim kemarau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, sistem bekalan air sedia ada kini terjejas susulan paras air sungai yang semakin rendah sehingga mengganggu operasi Loji Rawatan Air Kampung Pangtray.

“Kejadian ini berlaku semasa kemarau melanda kawasan Daro baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas ucapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.

Selain itu, Dr. Safiee turut mencadangkan agar sistem tali air dan saliran di skim pertanian sedia ada dinaik taraf segera bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian di kawasan Daro dan sekitarnya.

Menurutnya, kawasan berpotensi seperti Sungai Ilas dan Skim Padi Daro perlu diberi perhatian khusus bagi menjadikan Sarawak sebagai bakul makanan yang lebih berdaya maju.

Dalam bidang sukan pula, Dr. Safiee mencadangkan penubuhan Sekolah Sukan Sarawak yang lebih khusus dan berprestasi tinggi dengan memperkasakan SMK Tabuan Jaya melalui penyediaan fasiliti moden serta ekosistem sains sukan yang lengkap.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi melahirkan atlet bertaraf antarabangsa khususnya daripada luar bandar dan pedalaman.

Menyentuh isu sosial, Dr. Safiee menghargai usaha PEMADAM dalam mengurangkan kes remaja positif dadah, namun memberi amaran terhadap ancaman baharu seperti dadah sintetik dan penggunaan vape yang semakin membimbangkan.

Sehubungan itu, beliau memohon tambahan peruntukan supaya program kesedaran dapat diteruskan secara konsisten di 45 cawangan PEMADAM daerah.

Selain itu, beliau mendesak tindakan segera dalam aspek pendidikan dan kesihatan termasuk pemeriksaan sistem pendawaian sekolah serta penyelesaian projek Klinik Pergigian Daro yang terbengkalai sejak 2022.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan peserta ladang kelapa sawit Felcra Berhad yang mendakwa menerima dividen tidak setimpal, malah ada yang tidak menerima sebarang pulangan.

Justeru, beliau menggesa tindakan segera diambil bagi memastikan kebajikan penduduk luar bandar terus terbela.