Beting Maro dijadikan pusat pengeluaran hasil tani

PUSA: Kawasan Beting Maro akan dijadikan pusat pengeluaran hasil tani khususnya padi bagi meningkatkan pendapatan penduduk.

Ke arah itu, sebanyak RM3 juta diperuntukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor untuk membangunkan sektor pertanian di kawasan tersebut.

Razaili turut mencadangkan pembukaan skim padi dengan tiga kawasan telah dikenalpasti iaitu di Muton, Batang Maro dan Beladin.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Jelajah Ramadan 2024 di Kampung Semarang, semalam.

Katanya, Kerajaan Sarawak telah menyediakan peruntukan sebanyak RM200 juta di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) untuk membangunkan kawasan Beting Maro.

Jelasnya, antara projek yang turut dilaksanakan adalah pembinaan benteng di kawasan terbingan sungai di Kampung Semarang yang kini sedang giat dijalankan untuk fasa pertama dengan kos RM6.5 Juta.

Selain itu sebuah pusat Hemodialysis juga akan dibina di Klinik Desa Beladin dengan kos RM5 juta.

Manakala sebanyak RM4 juta lagi diperuntukkan untuk membina Masjid Kampung Semarang.