KUCHING: Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) menganjurkan Program SAMArindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2026 Siri II: Puisi Melayu Tradisional di Tebingan Kuching di sini, malam tadi.
Menurut kenyataan AKYBMS, program pementasan oleh artis AKYBMS itu berjaya menarik perhatian ratusan penonton menerusi persembahan puisi Melayu tradisional yang digarap secara kreatif dengan elemen penceritaan dan persembahan pentas.
Persembahan terbabit mengangkat kisah istimewa berkaitan Kerajaan Melayu Saribas dan Kerajaan Melayu Kalaka, khususnya menerusi penceritaan kehidupan watak Dang Umbok dan Dang Ukok.
“Kisah tersebut merupakan antara khazanah penting hasil penyelidikan, penterjemahan dan
penerbitan manuskrip-manuskrip Melayu Sarawak yang terdapat dalam repositori AKYBMS,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengurus Besar AKYBMS, Datu Dr Sanib Said, berharap usaha memartabatkan dan memelihara warisan budaya Melayu Sarawak terus mendapat sokongan masyarakat.
Beliau turut menggesa penggiat kesenian Melayu Sarawak, agar terus bekerjasama dalam memperkukuh ekosistem seni budaya negeri ini selari hasrat Pelan Strategik AKYBMS 2015–2035, khususnya di bawah teras Agama dan Budaya.
“Program SAMArindok seterusnya dijadual berlangsung pada 12 September dengan tema
SAMArindok Persembahan Kebudayaan Melayu Sarawak 2026 Siri II: Pencak Silat,” tambahnya.
AKYBMS mengalu sebarang bentuk kerjasama strategik bagi meningkatkan visibiliti kesenian Melayu Sarawak.
