KUCHING: Program MILO Malaysia Breakfast Day 2026 berjaya menghimpunkan sekitar 10,000 peserta daripada pelbagai latar belakang etnik di Sarawak.
Aktiviti diadakan di pekarangan Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), merupakan usaha penganjur memupuk amalan sarapan sihat dan gaya hidup aktif.
Datuk Bandar Kuching Selatan , Datuk Wee Hong Seng berkata, program berkenaan bukan sekadar acara larian, namun ia turut menjadi platform penting dalam memupuk budaya pengambilan sarapan yang sihat dalam kalangan masyarakat setiap hari.
Ujar beliau lagi, ia sekali gus membuktikan komitmen berterusan MILO untuk mendekati masyarakat di seluruh negara termasuk Malaysia Timur.
“Tujuan utama program hari ini bukan sekadar aktiviti berjalan kaki, tetapi untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan sarapan pagi yang sihat.
“Kita dapat melihat sambutan yang amat menggalakkan pada pagi ini dan ini antara penyertaan terbesar yang pernah saya saksikan,” katanya kepada media sebaik selesai majlis perasmian pelepasan peserta program di sini hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan media penganjur, program seperti ini juga dilihat mampu menyatu padukan masyarakat dan ahli keluarga masing – masing melalui pelbagai aktiviti.
Selain larian sejauh tiga kilometer (km), program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif, cabaran kecergasan dan program mesra keluarga yang menggalakkan aktiviti fizikal serta interaksi komuniti.
Bukan sahaja peserta dari bandaraya Kuching, ada kalangan peserta hadir dari Samarahan, Bau dan Lundu.
Selepas kejayaan penganjuran di Sabah, Terengganu dan Sarawak, siri jelajah itu akan diteruskan ke Kuantan, Pahang dan Kelantan sebelum melabuhkan tirai menerusi acara kemuncak di Putrajaya pada 12 Julai depan.
