Kembali fokus rutin harian, maju kehadapan selepas Gawai

DALAT: Adat Ngiling Bidai masyarakat Iban sebagai simbolik berakhirnya musim Gawai dan mereka diharap kembali menjalani rutin harian dengan azam baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata masyarakat itu juga perlu kembali fokus maju ke hadapan demi masa depan keluarga.

“Kini tiba masanya untuk terus maju, memperkukuh ekonomi keluarga, meningkatkan pendidikan anak-anak, mengekalkan perpaduan serta bersama-sama membangunkan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ngiling Bidai di Rumah Panjang Dari Anak Balin, di sini, semalam.

Selain itu, Royston juga berkata perayaan Gawai Dayak bukan sekadar sambutan satu kaum sahaja, sebaliknya memperkukuh perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai budaya.

Katanya, keunikan Sarawak yang memiliki lebih 40 suku kaum menjadikan perayaan itu saluran terbaik dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan serta persahabatan.