Pengurusan masjid, surau perlu seiring perkembangan teknologi baharu, AI

KUCHING: Penduduk Kampung Sungai Bedil Besar dan kawasan sekitarnya kini memiliki sebuah surau baharu yang lebih luas dan selesa.

Bangunan baharu surau tersebut dibina di atas kawasan seluas 818.5 meter persegi, membabitkan kos sebanyak RM2.6 juta.

Surau itu siap sepenuhnya pada Disember 2024 dan tertangguh susulan pandemik Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof yang merasmikan surau berkenaan berkata, projek tersebut ersebut bukan sahaja menjadi simbol kejayaan kerjasama komuniti, malah mencerminkan kepentingan institusi masjid dan surau sebagai nadi kehidupan umat Islam.

“Kesungguhan, komitmen serta sokongan padu masyarakat membolehkan sebuah surau baharu yang lebih luas dan selesa
berjaya disiapkan,” katanya di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menjelaskan, surau dan masjid juga berperanan sebagai pusat penyebaran ilmu, pembangunan ummah serta penyatuan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat agar memanfaatkan kemudahan yang disediakan bagi mengimarahkan aktiviti keagamaan, pendidikan dan kebajikan demi kesejahteraan masyarakat.

Katanya, dalam era digital ini institusi masjid dan surau perlu memanfaatkan teknologi serta kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh pengurusan dan penyampaian maklumat.

Beliau juga berkata, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ekonomi Sarawak terus berkembang dengan baik.

“Pelbagai inisiatif strategik dilaksanakan, termasuk pendidikan tinggi percuma secara berperingkat, selain pelaksanaan projek infrastruktur seperti pembinaan jambatan di seluruh negeri yang meningkatkan kesejahteraan serta kesalinghubungan rakyat,” katanya.